March 3, 2014

Salah siapa?

Lagi soal rumah tangga, naik pusing kepala saya dibuatnya. Bukan pusing sebab yang mengadu pusing sebab banyak kali ditemui dengan kisah ini.

Bila bab ini saya memang kena ketepikan sekejap perangai nakal dan berubah pemikiran untuk lebih matang.
Entahlah nak cakap banyak saya  bukanlah orang yang sepatutnya, cakap lebih-lebih nanti ada yang cakap,

“ Awak belum kahwin lagi, tak payah nak cakap banyak. Kahwin dulu baru tahu”.

Saya lebih memilih untuk mendiamkan diri, namun ramai pula yang datang meminta pendapat. Ilmu yang saya ada hanyalah  secebis sahaja. Ilmu orang sesekeliling, pembacaan, kuliah, dan program.
“Rakan sekerja saya sudah mempunyai anak dan isteri tetapi katanya isterinya tidak ambil peduli tentang kebajikan dan melayan dia. Dia baru kahwin, anak baru enam bulan.  Rakan saya itu meluahkan perasaan dan sukakan saya. Tetapi saya menolak sebab saya kesiankan anak dia. Sekarang saya dilema sebab hari-hari Nampak muka dia di pejabat. Saya tak dapat nak fokus”.

Saya mendiamkan diri, memikirkan apa yang harus saya luahkan. Sebelum ini pernah ada yang meminta pandangan tentang ini.

“ Macam mana ya nak cakap, akak pun tak biasa dan tak  reti sangat nak berikan pendapat. Sebab kita tak  tahu perkara sebenar dari kedua-dua belah pihak. Tak boleh  nak  salahkan mana-mana. Mungkin suami boleh cakap yang isteri tak layan dia dan isteri juga boleh cakap sebaliknya. Kenapa pada awal-awal kahwin tak cakap macam tu. Pada akak mungkin kita kena tengok dan cari kesalahan diri kita dulu”.

“Mungkin juga isteri dia tak layan suami dia sebab penat menjaga anak seharian dan buat kerja rumah. Yelah kerja surirumah lagi penat dari kerja pejabat ni. Mungkin tengok balik pengorbanan isteri dia semasa alahan mengandungkan anak dia, kesakitan melahirkan anak dia. Bagi akak itu bukan perkara mudah. Perhubungan masih baru, masih boleh diperbaiki”.

“Buatlah keputusan yang terbaik, istikharah minta pada Allah. Mungkin ini ujian buat awak. Allah sudah sediakan jodoh  buat awak”. Dia mengangguk lemah.

Seorang kakak juga meminta pandangan, semakin buntu saya dibuatnya,

“Suami kakak tak pandai lansung nak jaga anak, semua akak yang nak kena uruskan. Akak balik dari pejabat nak kena masak, kemas rumah, mandikan anak, nak layan dia lagi. Akak penat. Akak tak mintak apa pun dari dia, cukup dia faham keadaan akak. Dan bantu akak. Bagi akak tak kisahlah kalau ada madu. Biar madu akak je yang layan suami akak”. Aku hanya mampu memandang kakak itu mengesat air mata dengan hujung tudungnya. Aduh! Apa yang harus aku aku katakan.

 Mungkin juga sang isteri mengharap yang suaminya akan  memahami dirinya yang sedang kepenatan  tanpa memberitahu  isi hatinya kepada suami. Lebih mengambil untuk menyimpan di dalam hati dan menyebabkan berlakunya kanser emosi. Dari psikologi lelaki, lelaki ini susah nak baca hati dan fikiran wanita. Sebab itu lebih baik ambil langkah untuk berterus terang dan berbincang. Lelaki  belajarlah untuk memahami isteri. Kadang-kadang orang perempuan tak mengharap sangat si  suami akan buat sesuatu yang special. Cukup menjadi pendengar, meminjamkan telinga. Mengucapkan kata-kata sayang dan memuji. Itu dari sudut membina emosi wanita. Sememangnya wanita makhluk emosi.

Dan kadang-kadang lelaki mengadu susah nak faham  wanita. Ya memang. Wanita ini  Allah jadikan ia makhluk yang unik dan komplek. Kejap-kejap emosi gembira, kejap-kejap sedih. Inilah makhluk emosi. Yang menjadi peranan suami membimbing isteri dan memberi ketenangan emosi kepada isteri. Sama juga isteri usah terlalu mengharap yang suami akan sepenuhnya memahami isi hati dan perasaan kerana mereka juga makhluk yang kekurangan dan lebih kepada rasional dan logik. Bagi yang ingin tahu dan belajar tentang keperluan emosi pasangan masing-masing saya cadangkan bacalah buku “ Men are from mars, and women from venus” dan “ Why women cannot read map and man cannot listen”. Insya-Allah ada sedikit pencerahan dan  selebihnya mintalah pada Allah untuk menjaga perhubungan sebaikknya.

“Akak terserempak suami akak keluar dengan makan dengan pelajar dia. Dengan akak taknak pulak keluar. Pelajar dia pun satu dah tahu suami orang nak jugak luah perasaan. Rasa nak tumbuk je muka dia”. Akak itu menahan marah.

Saya  hanya mampu mendiamkan diri. Tiada kata yang dapat aku lafazkan saat itu. Memikirkan diri ini belum lagi melangkah ke alam itu. Pada pendapat saya yang dhoif, mungkin juga kerana kurangnya ilmu rumahtangga, ilmu mendidik anak-anak, ilmu untuk memahami pasangan antara satu sama lain. Yang penting ilmu Al-Quran dan Sunnah yang sepatutnya menjadi rujukan sepanjang perjalanan rumahtangga. Pesan ustaz, jangan sesuka hati keluar dengan rakan sepejabat yang berbeza gender walau hanya untuk makan suka-suka. Dikhuatiri akan terbuka pintu-pintu kecurangan dan zina. Nauzubillah.

Huh, mencabar!

Mungkin Allah belum izinkan saya  melangkah ke lam rumahtangga saat ini   kerana saya belum lagi cukup kesediaan untuk kealam itu. Syukur ya Allah, jika begitu kehendaknya saya masih punya masa untuk membuat persiapan diri. Perbetulkan niat kenapa perlu berkahwin.

Teringat kata-kata Ustaz Asya’ari. Bahasa lelaki dan wanita berbeza.

“Mungkin isteri akan bertanya, awak sayangkan saya tak?”.

Mungkin banyak kali persoalan itu ditanya. Sebenarnya ada maksud yang tersirat. Mungkin sebenarnya dia nak cakap, awak kurang memberi perhatian kepada saya, awak jarang menghubungi saya.

Sang isteri terasa hati bila suami tak sempat nak sarapan. Dia susah-susah bangun awal pagi untuk siapkan sarapan. Dengan harapan suami akan makan dan memberi pujian. Cukuplah buat sesuatu semata kerana suami. Jika buat kerana ingin mendapat redha Allah, kita akan tidak cepat mudah  melatah. Mungkin sahaja dia tak sempat sarapan sebab nak cepat ke pejabat. Sang suami pula jika sudah tahu  isteri penat-penat buat sarapan, jika tak sempat pun beritahu dan mintalah maaf. Nampak seperti remeh. Isunya sarapan sahaja. Namun tak mustahil ianya mampu menjadi isu yang besar.  Semakin tinggi ego antara pasangan semakin tinggi risiko keretakan rumahtangga dan sesebuah perhubungan. Membina kefahaman itu mungkin memakan masa, maka bersabarlah. Salah satu cara perbaiki perhubungan banyakkan ucapan maaf dan terima kasih. Besar impaknya.



Terakhir dari saya, walau sudah berkahwin atau belum carilah ilmu. Usah berdalih sibuk dan sebagainya. Tidak cukup dengan sekadar mendengar kuliah. Bacalah  buku. Saya pantang orang yang beralasan macam-macam kerana malas membaca. Maaf mungkin saja  tanggapan saya salah. Tetapi kebanyakan yang saya jumpa mempunyai masalah rumahtangga orang yang malas nak ke majlis ilmu dan membaca. Saya lebih cenderung memilih pasangan yang suka membaca, kerana orang yang membaca dia bukan sekadar akan membaca. Bila membaca bermakna sudah bermula titik untuk dia belajar sesuatu dan berubah untuk menjadi lebih baik. Pemikiran orang yang suka membaca juga lebih berbeza dan mempunyai pendirian.

“Kadang-kadang kita sibuk dengan kelemahan dan kekurangan orang lain, tetapi tak sedar kelemahan itu sebenarnya ada pada diri sendiri”

Buat yang bakal ditakdirkan untuk saya, maafkan saya terlalu banyak kelemahan dan kekurangan diri ini. Semoga terus bersabar dengan diri yang dhoif ini. Tegurlah anda kesilapan diri ini.
Moga Allah meredhai.



Maafkan saya jika entri ini membuatkan sesetengah pihak tidak bersetuju, apa yang saya kongsikan disini berdasarkan pengalaman saya bersama dengan orang sekeliling yang sudah berumahtangga dan pembacaan saya. Moga bermanfaat.

Sebelum aku diijabkabul

No comments: