April 3, 2014

Tegurlah Allah

Keesokan sebelum adik aku menghadapi peperiksaan akhir, dia sempat wassup aku. Aku tersenyum melihat persoalannya.

Adik : Kak kenapa ya, orang selalu dapat teguran dari kawan-kawan orang. Satu tahap rasa down sangat. Kecik hati pun ada.

Aku : Ucaplah terima kasih pada mereka.

Adik : Tapi kenapa?

Aku : Sebab Allah masih hadirkan insan yang sudi menegur kesilapan kita agar tidak terus hanyut dalam kelalaian.

Adik : Tapi setiap kali orang bagi teguran pada mereka, mereka taknak dengar.

Aku : Masa mereka bagi teguran pada awak, awak dengar tak?

Adik aku terdiam buat seketika.

Mungkin sahaja kesalahan atau kesilapan orang yang kita tegur itu ada pada kita. Usah cepat melenting, carilah hikmah di sebalik teguran. Walau kadang-kadang agak pahit dan sakit untuk diterima. 

Makha pernah pesan,

Semakin tinggi ilmu seseorang itu, sepatutya semakin tunduk dan tawaduk. Bukannya berbangga dengan ilmunya sehingga teguran orang lain dirasakan tidak perlu dan ilmunya itu sudah cukup dan terbaik buat dirinya. Isunya Keegoan.

Oh! Egokah aku ini?

Aku bukan ustazah, jauh sekali belajar atau berada dalam bidang agama. Tetapi harapan aku buat kalian yang sememangnya secara langsung berada dalam lapangan ini gunakan ilmu kalian sebaiknya.

Bila aku bercakap tentang agama, orang suruh aku bentangkan ayat al-Quran dan hadis bagai,
Bila aku bercakap soal al-Quran dan hadis, aku dipertikaikan kerana aku bukan perlajar agama.

Adakah aku akan terhenti dari meneruskan dakwah ini? Oh tentulah tidak...aku tak suka memikirkan aku menarik diri dari dari dakwah ini. Aku mungkin  bukan ustazah, budak belajar agama jauh sekali. Walau aku mungkin tak mampu nak ubah seseorang jadi baik 99.99 %, tetapi cukup 0.01 sudah memadai. 99.99% itu adalah pengharapan dan doa aku pada Allah.

Berbalik kepada teguran tadi. Bukan mudah untuk menegur kesilapan orang lain, tambahan lagi menegur orang yang tinggi ilmunya. Dan bukan mudah juga untuk menerima teguran. Masing-masing berlapang dadalah. Penegur dan yang ditegur, masing-masing carilah hikmah.

Aku pernah ditegur seorang rakan sekelas lelaki sewaktu diploma,

" Mekna aku tengok perempuan yang tak pakai stoking, macam tak sopan je. Kaki kalau cantik tak apalah. Ni macam-macam benda ada kat kaki".

Waktu itu aku tarik kaki aku yang "telanjang" sembunyi bawah meja. Perasaan malu semuanya ada. Sudahlah kena tegur depan-depan. Memang sentap beb...pulak lelaki yang tegur. Kawan aku itu orangnya gila-gila saja. Itulah usah lihat pada orangnya, lihat apa isi tegurannya. Aku rasa macam nak berhenti  diploma. Malu sampai taknak pergi kelas. Hikmahnya dari situasi menyakitkan itu, insya-Allah aku istiqamah memakai stoking sampai sekarang.

Teringat situasi masa diploma jugak, kawan aku bertudung labuh ketika itu. Aku masih tudung kanak-kanak. Terkejut tiba-tiba seorang lelaki tegur kawan aku. 

"Maaf tegur, tudung awak labuh bagus dah, tapi jarang sedikit saya perasan".

Aku dan kawan aku tersentap. Waktu itu kawan aku merah padam mukanya. Tanpa cakap apa-apa pada lelaki tanpa nama tu, kami jalan laju-laju. Selepas peristiwa itu kawan aku pakai inner dalam tudung. Itulah hikmahnya.

Mungkin  menyakitkan mendapat teguran, tambahan dari yang berlainan gender, orang yang kita rasakan dia pun buat salah dan orang yang paling rapat dan kita sayangi. Tapi percayalah teguran itu datangnya dari Allah buat kita, teguran dari Allah yang disampaian melalui hambaNYA. Terima kasih kepada yang menegur kesilapan aku selama ini. Jangan pernah berhenti membetulkan dan menegur kesilapan aku kerana aku hamba yang banyak khilafnya dan dhoif sekali ilmunya.

Jika benar sayangkan aku, betulkan aku, bimbinglah aku,
Agar kelak kita bersama-sama menuju ke sana.

Kerana Allah aku menegur,
Kerana Allah aku terima teguran,
Lapangkan dada,
Carilah hikmah.



Hamba Dhoif

No comments: