Al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa’, bekas kadi
ahwal syakhsiyyah di Kuwait yang kini aktif mengadakan program-program
berbentuk bimbingan kekeluargaan, berdasarkan pengalaman dan pengamatannya
ketika mengendalikan kes-kes berkaitan dengan masalah rumahtangga menyimpulkan
antara sebab berlakunya keretakan dan kegagalan dalam perkahwinan adalah kurang
taaruf atau tidak mengenali antara satu sama lain dengan mendalam sebelum
berkahwin.
Taaruf yang mendalam atau mengenali bakal teman
hidup sebelum melangsungkan perkahwinan sangat penting demi menjamin
kesejahteraan dan keseimbangan dalam menjalani kehidupan berumahtangga. Ini
tidak bermakna pasangan mesti melalui alam percintaan sebelum berkahwin, kerap
bertemu dan berhubung melalui panggilan telefon, sms, chating dan sebagainya.
Percintaan sebelum berkahwin seperti yang
dilakukan oleh segolongan masyarakat dan ditonjolkan dalam segala macam media
sebagai suatu kemestian, suatu dunia yang penuh dengan keindahan dan
keseronokan adalah sebenarnya penipuan belaka. Alam percintaan tidak
mendedahkan hakikat diri yang sebenarnya. Masing-masing berusaha menunjukkan
yang terbaik sahaja di hadapan pasangannya. Setelah berkahwin barulah
terbongkar segala rahsia, segala perangai dan sikap buruk yang selama ini
disembunyikan.
Untuk mengenali calon pasangan hidup anda dengan
mendalam, al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa’ mencadangkan agar anda mengajukan
10 soalan. Soalan-soalan ini boleh diajukan secara langsung semasa sesi taaruf,
atau melalui orang tengah. Jika calon memilih untuk bertemu, melihat dan
berkenalan pastikan pertemuan itu tidak dilakukan secara berdua-duaan di tempat
suci dan terpencil. Jangan cemari niat yang suci dengan melanggari perintah
Allah dan Rasul. Jangan relakan syaitan menjadi orang ketiga di antara anda
dengan si dia.
10 soalan itu adalah:
1. Apakah wawasan hidupnya?
Setiap orang mempunyai wawasan dan cita-cita
yang ingin dicapai dalam hidupnya. Inilah yang perlu anda ketahui mengenai
bakal pasangan hidup anda. Sekiranya anda dan dia mempunyai wawasan dan
matlamat hidup yang sama maka perselisihan dalam rumahtangga akan berkurangan.
2. Bagaimanakah kefahamannya mengenai konsep
perkahwinan?
Kefahaman serta tasawur yang jelas mengenai
perkahwinan amat penting. Sekiranya kedua-dua pihak mempunyai kefahaman yang
berbeza, umpamanya satu pihak menganggap perkahwinan hanya sekadar memenuhi
tuntutan nafsu semata-mata, sedang satu pihak lagi memandang sebagai satu
ibadah, sudah semestinya rumahtangga yang bakal dibina tidak akan aman daripada
perselisihan dan pergaduhan.
3. Apakah sifat-sifat yang digemari dan tidak
digemarinya?
Adalah penting bagi setiap pasangan mengetahui
kegemaran pasangannya, apa yang disukai dan tidak disukainya kerana
kadang-kadang perselisihan berlaku disebabkan kelainan kegemaran dan citarasa.
Sekiranya kegemaran setiap pihak diketahui terlebih awal mungkin perselisihan
dapat dielakkan.
4. Apakah pandangannya mengenai anak pada tahun
pertama perkahwinan?
Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza
mengenai masa yang sesuai untuk menimang cahaya mata. Sekiranya satu pihak
belum bersedia sedang pihak yang satu lagi sudah tidak sabar untuk bergelar ibu
atau ayah, pastilah kedua-dua pihak akan berasa tertekan dan perhubungan akan
jadi tegang.
5. Adakah dia mempunyai masalah kesihatan atau
kecacatan?
Masalah kesihatan yang kronik atau kecacatan
semula jadi pada anggota badan tidak wajar disembunyikan. Mengetahui adanya
penyakit atau kecacatan tertentu akan mempengaruhi keputusan yang bakal
diambil. Menyembunyikan penyakit yang kronik atau kecacatan yang mengaibkan
boleh dianggap sebagai satu penipuan.
6. Adakah dia seorang yang suka bergaul?
Sesetengah orang suka bergaul dengan pelbagai
lapisan masyarakat, mempunyai kawan dan kenalan di merata-rata tempat.
Sesetengah yang lain pula suka menyendiri, tidak pandai berkawan dan sukar
didampingi. Orang macam mana yang anda cari?
7. Bagaimana hubungannya dengan ahli
keluarganya?
Perkahwian bukan sekadar aqad yang mempertemukan
antara dua jiwa. Sebaliknya perkahwinan merupakan hubungan kemasyarakatan yang
mencantumkan antara dua keluarga atau lebih. Oleh itu bakal tunangan harus tahu
status keluarga serta hubungan mereka antara satu sama lain. Hubungan
kekeluargaan juga sedikit sebanyak menggambarkan keperibadian seseorang.
8. Apakah kegemarannya dan bagaimana dia mengisi
waktu lapangnya?
Kegemaran serta cara seseorang memenuhi masa
lapangnya juga memberi gambaran tentang wawasan serta cita-citanya dalam hidup
ini.
9. Adakah dia aktif dalam mana-mana pertubuhan
bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan kebajikan?
Keaktifan dalam persatuan kebajikan atau
pertubuhan sukarela menggambarkan dia bukan seorang yang sombong dan
mementingkan diri. Orang yang hidupnya sekadar untuk memenuhi cita-cita dan
wawasan peribadi semata-mata sebenarnya hidup dalam dunia yang sempit dan mati
sebagai insan yang kerdil. Tetapi orang yang hidup dalam perjuangan akan hidup
sebagai insan yang hebat dan apabila dia mati namanya akan dikenang
zaman-berzaman.
10. Apakah pandangannya sekiranya ibu bapa masuk
campur dalam urusan peribadi atau urusan rumahtangga mereka?
Sesetengah orang menganggap rumahtangga adalah
masalah peribadi yang terlalu khusus. Tiada seorang pun yang boleh masuk campur
walaupun ibu bapa sendiri. Hal ini sangat penting diketahui oleh setiap orang
yang akan memasuki gerbang perkahwinan. Apakah pandangan bakal pasangan
hidupnya. Adakah dia termasuk dalam golongan di atas atau sebaliknya seorang
yang terlalu bergantung kepada kedua-dua ibu bapanya walaupun telah berkeluarga?
Apabila anda telah mendapat jawapan yang
bersesuaian dengan apa yang dicari, maka teruskanlah hasrat anda untuk
melamarnya. Begitu juga halnya dengan pihak yang dilamar. Pastikan anda
mengenali jejaka yang melamar itu dengan mengajukannya 10 soalan di atas begitu juga pihak perempuan.
>>SELAMAT MEMBINA BAITUL MUSLIM>>
kopipaste
No comments:
Post a Comment