December 17, 2013

Wali : 1

Pagi subuh itu suasana yang hening, aku lihat ayah dirinya semakin dimamah usia. Urat-urat tangannya yang kasar timbul, kesan kuatnya dia mencari rezeki. Ayah memandang jauh ke ufuk, kedengaran bunyi pantai yang mendayu-dayu seakan akan berzikir memuji Ilahi, subhanallah. Hebat ciptaanMu Ya Rabb. Aku duduk bersebelahan ayah sambil bermain-main pasir. Sudah lama tidak menyentuh pasir ini, Subhanallah, hanya ungkapan itu yang mampu aku berikan. Ayah terbatuk-batuk sambil mengurut dadanya.




“Ayah ok tak ni? Kalau sejuk kena angin pantai ni jomlah kita balik”. Aku memegang lengan ayah.

Ayah tersenyum, “Tidak apa-apa Amni, ayah baik-baik sahaja”.

Ayah kembali memandang burung-burung yang berterbangan. Rasa bersalah mengigit hati. Kerana dari semalam aku yang beria-ria mengajak ayah untuk ke pantai. Sejak masuk universiti jarang sekali aku dan ayah dapat keluar bersama. Seketika kecil akulah peneman setia ayah kemana-mana.

“Amni”. Suara serak ayah memanggil namaku.

“Ye ayah”. Aku memandang wajah ayah, Allahurabbi. Terasa begitu sayu sekali.

“ Maafkan ayah jika selama ini ada tanggungjawab sebagai ayah, gagal ayah laksanakan. Ayah mencuba untuk menjadi ayah yang terbaik buat kalian” Ayah menunduk memandang ke pantai.

“Sekarang Amni pun dah dewasa, dan nanti akan  menjadi isteri orang”. Suara ayah terhenti.
Perasaan sebak mulai meruntun jiwa, ku cuba bertahan. Mata yang berkaca aku sembunyikan dari memandang wajah ayah, belum pernah sebelum ini  ayah menuturkan kata-kata seperti itu.

“Ayah harap suamimu nanti akan menjagamu dengan baik, membimbing kamu sebaiknya. Ayah nak dia jaga kamu seperti mana ayah menjagamu”. Ayah menyambung.

“Erk, tapi kenapa tiba-tiba ayah cakap pasal perkara ni. Amni belum terfikir lagi ayah. Biarlah masa yang menentukan” Aku kembali menguis-nguis pasir.

“ Amni..Amni, Amni bukan budak-budak lagi, sampai bila nak berkepit bawah ketiak ayah dengan mak, nanti Amni akan kahwin, ada anak, ada keluarga sendiri” Ayah tergelak kecil.

“Ala…kita tak puas lagi tinggal dengan mak dan ayah” Aku memegang erat lengan ayah.

“ Amni nanti bila dah kahwin jadi isteri yang baik. Ayah akan pastikan suamimu itu menjaga dirimu dengan baik. Bila mana kamu berkahwin, dirimu mutlak hak suamimu. Tapi bukan bermakna ayah melepaskanmu begitu sahaja, hanya sekadar bertukar tangan”. Ayah tersenyum.

“ Ayah baikkan Allah, sebelum kahwin dia bagi ayah jaga Amni. Lepas kahwin dia bagi suami pulak jaga Amni”. Aku tersenyum sendiri.

“Anak ayah dah bersedia untuk menjadi isteri?” Soal ayah dengan nada sedikit serius.

“Erk..ala ayah, Amni ni masak pun tak berapa lepas lagi ni. Nak mantapkan belajar tajwid dengan Ayah dulu” Terasa panas muka aku.

“Haha..baiklah, buatlah persediaan sebaik mungkin. Lagi pun Amni dah tak lama nak konvo, mana tahu ada lelaki baik yang datang pinang puteri kesayangan ayah ni” Ayah tergelak besar.

“ Ayah dahla, jom kita balik. Amni dah lapar ni. Nak sarapan makan roti canai banjir ok?” Kenapalah aku merasakan diri ini belum matang lagi.haha

Ayah saya sayangkan ayah~





No comments: