February 27, 2014

Saatnya aku mengerti

Semalam merupakan hari kelahiran kakak, Kak Ja. Namanya Rosliza Mohd Daud. Nama ayah kami berbeza namun kami berkongsi ibu yang sama. Umur Kak Ja 10 tahun lebih tua dari saya, sepanjang kehidupan kami banyak perit jerih yang dilalui. Kak Ja banyak membantu kami sekeluarga. Dari menjadi seorang jurutera, dia mengambil keputusan untuk bertukar profession kepada seorang guru. Alhamdulillah sekarang dia sudah dikurniakan tiga orang cahaya mata yang ala-ala korea campuran cina dan seorang suami yang sangat bertanggungjawab.

Pada tahun 2005, Kak ja menamatkan zaman bujangnya di usia 26 tahun. Waktu itu saya berumur 16 tahun. Sebelum hari perkahwinan Kak Ja saya sangat sedih, aku membayangkan abang ipar saya akan mengambil kakak secara total. Saya merasakan saya tidak dapat lagi bermesra, berkongsi cerita dan berjalan-jalan dengan kakak. Saya menyembunyikan perasaan pada hari perkahwinan Kak Ja. Waktu itu saya tidak kenal Abang ipar, abang ipar muda dua tahun dari Kak Ja.

Sebulan sebelum perkahwinan, Kak Ja mengalami kemalangan ngeri dimana dia terjatuh ke dalam gaung sewaktu pulang ke Kuarters Guru di Pahang. Ibu menangis teruk. Saya hanya diam seribu bahasa. Alhamdulillah Kak Ja selamat dan mengalami sedikit kecederaan pada leher, jika dilihat pada remuknya kereta mungkin  Kak Ja parah.

" Sebelum tertidur dalam kereta Kak Ja baca ayat Kursi"

Subhanallah, Allah yang menyelamatkan Kak Ja. Alhamdulillah Kak Ja dijodohkan dengan seorang yang bertanggungjawab. Abang ipar sangat menjaga Kak Ja dan anak-anaknya. Bukan itu sahaja dia menjaga kebajikan setiap ahli keluarga kedua-dua belah pihak. Mungkin dia tidak banyak bercakap, tetapi dia lebih banyak bertindak. Saya doakan jodoh Kak Ja dan Abg Padil berpanjangan hingga ke syurga.

Jika ingin dihitung jasa Kak Ja dan Abang Ipar buat kami sekeluarga sememangnya tidak berbalas. Ingat lagi sewaktu Kak Ja bersalin, keesokan harinya saya perlu mendaftar ke UiTM Jengka. Waktu itu menjadi tanggungjawab suami untuk menjaga isteri. Tetapi Kak Ja meminta abang ipar untuk hantar saya mendaftar ditemani ibu saya. Semua barang keperluan untuk masuk universiti abang ipar yang uruskan.  Bila saya mula belajar di UiTM saya memerlukan komputer, Kak Ja menghantar komputer kepada saya selepas itu belikan laptop, pada awal semester yuran saya ditanggung sepenuhnya oleh Kak Ja. Waktu itu ayah perlu menjaga kebajikan adik-adik lain yang masih bersekolah. Pada masa itu juga kesihatan Ayah tidak mengizinkan. Walau sekarang pun setiap kali kami adik-adik yang akan masuk universiti pasti abang ipar dan Kak Ja yang akan hantar dan urusakan pendaftaran kami.

Setiap kali kami adik-adik nak balik ke universiti pasti Kak Ja akan memberikan wang belanja. Walau dia sudah ada anak. kadang-kadang kesian juga. Tapi itulah dikatakan kasih seorang kakak. Mungkin kadang-kadang dia agak bertegas dengan kami adik beradik. Tapi itulah yang membuat kami untuk terus belajar.

Saya teringat waktu Kak Ja ingin melahirkan anak, pada masa itu dia menangis-nangis minta saya balik temankan dia, tetapi waktu itu saya ada peperiksaan akhir. Allahurabbi rasa bersalah sangat. Saya balik selepas peperikasaan, perasaan bersalah masih menghambat saya sampai sekarang. Saya cuba menebus semua itu setiap kali balik kampung saya akan bawa balik buah tangan untuk keluarganya. 

Selepas menamatkan pengajian Ijazah, saya ingin terus bekerja. Rasa tiba masanya untuk saya pula membayar ganti rugi apa yang Kak Ja sudah berikan untuk kami. Tetapi Kak Ja menghalang, waktu itu dia memberikan semangat dan ingin saya meneruskan Master. Terasa amat berat kerana saya pasti akan membebankan dia lagi.

Kini saya sudah menjangkau usia dewas kakJa juga ada bertanya tentang jodoh. Namun setiap kali bicara soal ini, muka saya pasti merah padam. Selalu sahaja dia sebut pasal pelamin, hantaran. Tetapi saya rasa malu. Saya rasa malu kerana saya belum lagi berbakti pada keluarga saya.

Teringat selepas sebulan Kak Ja mendaftar menjadi guru dan dihantar ke pendalaman. Dia terus membuat loan dengan bank untuk meyiapkan rumah kami dan belikan kereta buat ayah. Pada masa itu ayah gunakan kereta buruk terpakai yang dibeli dari pakcik saya. Kak Ja juga membayar hutang ibu dan ayah yang dipinjam dari keluarga terdekat.

Bila diingat peristiwa-peristiwa yang sukar saat dulu, saya sangat syukuri dikurniakan keluarga yang sederhana, meskipun kami bukanlan dari keluarga senang, ibu dan ayah kami tidak pernah abaikan mengajar kami tentang agama.

Dan ibu selalu cakap,

"Mek tiada harta untuk diberi kepada anak-anak, anak-anaklah harta yang mek ada"

Sayu sekali, sepertinya saya tidak mampu lagi meneruskan penulisan ini. Ya Allah redhakanlah kami sekeluarga. Himpunkan kami di JannahMu,


Selamat hari lahir buat kakak kesayangku, saya cintakan kakak sampai bila-bila...

Kak ja pakai baju merah, gambar raya 2012


No comments: